SKIM PEDULI SIHAT INDAH KHABAR DARI RUPA – NETIZEN


Skim Peduli Sihat diperkenalkan kerajaan Selangor melalui kad bernilai RM200 untuk individu dan RM500 untuk keluarga menerima reaksi negatif sebahagian netizen kerana hanya mampu membiayai rawatan asas di hospital swasta, selain dihadkan kepada jumlah RM50 bagi setiap kali kunjungan.

Melalui tinjauan di Facebook Selangor Press mendapati rata-rata rakyat di negeri mempertikaikan had yang ditetapkan skim ini dan beranggapan skim tersebut lebih menguntungkan pengusaha pusat perubatan swasta berbanding memberikan kebajikan kepada rakyat.

Seorang pengguna Facebook, Zaharah Ali berkata pelaksanaan skim ini akan menguntungkan klinik swasta kerana caj konsultasi dan harga ubat yang dikenakan adalah pada had maksimum dibenarkan kad berkenaan.

“Klinik swasta buat untung, tuan (Datuk Seri) Azmin. Hulur sahaja kad itu, dia (klinik) tahu mana ubat yang setimpal untuk bagi. Campur dengan consultation up to maximum amount (RM50). Tuan Azmin bukan bantu rakyat tetapi bantu klinik swasta,” komennya melalui Facebook.

Seorang pengguna Facebook lagi, Rock Nana berkata had yang ditetapkan kad berkenaan hanya boleh membiayai kos pemeriksaan, ubat seperti Panadol dan sijil sakit.

Manakala pengguna Facebook, Mohd Firdaus mendakwa caj minimum yang dikenakan di klinik swasta mencecah hingga RM90 untuk rawatan dan ubatan asas, selain caj lebih tinggi untuk penyakit kronik seperti angin ahmar, sakit jantung dan lelah.

Firdaus turut berharap nilai kad tersebut dinaikkan sehingga RM10,000 setahun agar mampu membantu kos rawatan penyakit kronik di pusat perubatan swasta.

“RM500 setahun? Pergi klinik swasta ubat-ubat b*doh pun kena caj RM90. Kalau kena angin ahmar, sakit jantung, semput, saya ingat RM500 setahun mana cukup. Rakyat mahu RM10,000 setahun,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun seorang pengguna Facebook, Uwais Alqarni pula mempertahankan skim tersebut, malah turut memuji usaha murni kerajaan Selangor memperkenalkan skim itu.

“MB Selangor buat untuk rakyat Selangor, bantu penyakit kronik dapat rawatan doktor (melalui skim Peduli Sihat). Satu usaha yang baik,” katanya.

Semenjak diperkenalkan Januari tahun ini, lebih 40,000 rakyat Selangor telah didaftarkan untuk skim Peduli Sihat melalui Pejabat Ahli Dewan Negeri atau Pejabat Penyelaras Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam negeri ini.

No comments: