BR1M diteruskan dan GST akan diganti dengan cukai lain jika pembangkang menang PRU-14


Jika pembangkang berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diteruskan, kata Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pendirian terbaru Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bertentangan dengan kenyataannya sebelum ini bahawa BR1M itu adalah 'rasuah'.

Namun, katanya pemberian bantuan itu akan dilakukan mengikut undang-undang yang lebih telus.

"Jika dipersetujui oleh rakyat BR1M akan dijadikan bantuan 'statutory' yang ditentukan oleh undang-undang dan bajet biasa. Perdana Menteri tidak boleh tentukan pemberian ini atau jumlahnya atau cara penyampaian.

"Wang ini akan diagih oleh pegawai kerajaan. BR1M tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto parti," katanya dalam ucapan pelancaran PPBM, malam ini.

Terdahulu, Dr Mahathir mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan BR1M untuk meraih sokongan rakyat dalam PRU14 akan datang.

Malah Pengerusi PPBM itu turut mengingatkan rakyat di negara ini bahawa pemberian BR1M merupakan rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Kenyataan Dr Mahathir itu bagaimanapun tidak didokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Beliau bertegas, bantuan BR1M itu adalah pertolongan daripada kerajaan yang perlu diterima rakyat marhaen.

Bagaimanapun, timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali tidak senada dengannya dan memihak kepada Dr Mahathir, bahawa BR1M itu adalah rasuah.

Selain itu, Tun M turut menawarkan untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan digantikan dengan cukai jualan yang dipersetujui rakyat jika berjaya menjadi menggantikan Umno-Barisan Nasional (BN).

No comments: