Salur bantuan ubat, keperluan asas ‘Food Flotilla for Myanmar’

Ipoh: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan menyalurkan sumbangan orang ramai berjumlah hampir RM1 juta kepada pelarian Rohingya di Myanmar melalui misi ‘Food Flotilla for Myanmar’ bermula 10 Januari depan.

Misi itu mendapat sokongan penuh Kelab Putera 1Malaysia berserta 40 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Presiden MAPIM, Zulkifly Ibrahim berkata, misi itu membawa makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas hasil sumbangan wang yang diperoleh menerusi kutipan di masjid dan surau di bawah seliaan pegawai tadbir agama daerah yang mewakili jabatan agama di setiap negeri.


Katanya, kapal membawa keperluan itu akan berlepas dari Pelabuhan Klang, Selangor ke perairan antarabangsa berdekatan Myanmar sebelum berlabuh di Teknaf, Bangladesh di sempadan Myanmar yang menjadi penempatan utama pelarian Islam dari Rohingya.

“Walaupun tidak dapat terus masuk ke kem pelarian, kita jangkakan rundingan antara pihak kami dengan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) yang diselia kerajaan Bangladesh selain mendapat naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) akan memudahkan agihan bantuan.

“Insya-Allah misi yang dijangka mengambil masa 17 hari berjalan lancar kerana (pemimpin Myanmar) Aung San Suu Kyi sendiri memberi jaminan untuk membuka ruang agar bantuan dapat disalurkan menerusi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Yangon, baru-baru ini,” katanya kepada pemberita pada majlis Sumbangan Solidariti Rohingya di sini, semalam.

Pada majlis itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin menyerahkan kutipan derma pihak masjid dan surau di Perak berjumlah RM150,892 kepadanya dengan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Zulkifly berkata, seramai kira-kira 200 individu terdiri daripada ahli politik, pengamal media, pegawai perubatan dan wakil NGO antarabangsa akan turut menyertai misi berkenaan.

No comments: