Misi bantu Islam Rohingya : Kelab Putra 1Malaysia tunggu kebenaran Myanmar

Surat permohonan rasmi untuk membolehkan ­pe­nyaluran bantuan misi kemanusiaan Food Flotilla for Myanmar ke Pelabuhan Sittwe, Myanmar anjuran Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) telah dihantar kepada kerajaan Myanmar.


Bagaimanapun, Timbalan Pre­siden KP1M, Datuk Mohd. Farid Hassan berkata, sehingga kini pihaknya masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Myanmar berhubung perkara berkenaan.

“Secara rasmi surat permohonan untuk menghantar bantuan ke pelabuhan Sitwee telah dihantar kepada kerajaan Myanmar tetapi tiada sebarang maklum balas diterima lagi.

“Jika kita tidak dibenarkan masuk melalui Myanmar, kita akan menghantar bantuan melalui Teknaf, Bangladesh sebagai langkah alternatif,” katanya dalam sidang akhbar di World of Motion di sini hari ini.

Misi Food Flotilla for Myanmar anjuran KP1M dan Majlis Perun­dingan Islam Malaysia (Mapim) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari 20 negara itu dijangka belayar pada 10 Januari 2017 bagi menyalurkan bantuan makanan dan kelengkapan asas kepada pelarian Rohingya.

Misi yang dijangka mengambil masa antara 10 hingga 14 hari itu disertai kira-kira 200 sukarelawan terdiri daripada pegawai perubatan dan aktivis kemanusiaan termasuk dari luar negara seperti Turki, Indonesia dan lain-lain.

Menurut Mohd. Farid, Wisma Putra juga sedang giat membantu untuk mendapatkan kebenaran daripada kerajaan Myanmar dan Bangladesh bagi tujuan penyaluran bantuan kemanusiaan itu.

Tambah beliau, pihaknya juga memohon bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengiringi kapal yang membawa 1,000 tan bantuan kemanusiaan tersebut sepanjang berada di ­perairan antarabangsa.

“Kita sedar mengenai risiko sepanjang misi ini berlangsung dan permohonan kepada pihak TLDM telah dibuat. Kami masih menunggu maklum balas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Farid berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai se­perti kain pelikat serta selimut untuk dihantar kepada etnik Rohingya. - UTUSAN

No comments: